MENGHADIAHKAN PAHALA BACAAN KEPADA SI MATI
Jika dipertimbangkan
mengikut logika akal, amalan membaca fatihah atau membaca ayat-ayat al-Quran
kemudian menghadiahkan pahala bacaannya kepada si Mati (arwah), tentulah
tidak ada salahnya, malah ia menggambarkan suatu perbuatan yang baik,
bagus dan mulia. Begitu juga dengan membaca al-Quran dengan mengadakan
kenduri arwah, tahlilan atau yasinan beramai-ramai atau berseorangan, sama
ada yang dikhususkan di malam-malam tertentu, di hari-hari tertentu, di
bulan-bulan tertentu atau di tempat-tempat tertentu seperti di atas kubur
dan sebagainya, pastinya sekali pandang perbuatan ini adalah baik, malah
menggambarkan pekerjaan terpuji kerana antara tujuannya ialah untuk
menghapuskan dosa seseorang (roh orang mati) di samping mengirim pahala
yang dibaca oleh orang yang ramai kepada si mati untuk mengurangkan
penderitaannya. Namun, apabila dikembalikan kepada syara ia adalah
perbuatan bid’ah yang mungkar.
Ada antara mereka (terutama pengemar kenduri
arwah, yasinan, tahlilan dan selamatan) berhujjahkan hadis berikut untuk
membolehkan membaca surah Yasin sama ada untuk menghapuskan dosa si Mati
atau mengirim pahala bacaan tersebut kepada si Mati:
مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ اَوْ اَحَدِهِمَا يَوْمَ الْجُمْعَةِ فَقَرَاَ
يَس ، غُفِرَ لَهُ .
“Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau
salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah
Yasin, maka akan diampunkan dosanya".
Hadis di atas ini adalah hadis batil, palsu atau tidak
ada asal usulnya. Terdapat di dalam sanadnya seorang yang bernama 'Amar
yang dikenali sebagai pemalsu hadis dan banyak meriwayatkan hadis-hadis
yang batil. Imam Daraqutni rahimahullah berkata tentang 'Amar:
"Amar adalah seorang pemalsu hadis". 4
Terdapat
beberapa ulama yang sezaman dengan Imam Syafie yang telah mengharamkan
kenduri arwah, salah seorang dari mereka ialah sahabat Imam Syafie bernama
Imam Muzani rahimahullah, beliau menolak pendapat mereka yang
membolehkan kenduri arwah, malah beliau telah menfatwakan tentang
pengharaman mengirim (menghadiahkan) pahala dari bacaan al-Quran untuk
menyelamatkan orang mati sebagaimana yang diamalkan dalam majlis kenduri
arwah, beliau berkata:
فَاَعْلَمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَا
اَعْلَمَ اللهُ مِنْ اَنَّ جِنَايَةَ كُلِّ امْرِئٍ عَلَيْهِ كَمَا اَنَّ
عَمَلُهُ لَهُ لاَ لِغَيْرِهِ وَلاَ عَلَيْهِ.
"Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu: Bahawa dosa
tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana
amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang
lain".5
Terdapat juga segolongan mereka yang
berhujjahkan fatwa Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah rahimahullah
yang pernah membolehkan perbuatan mereka yang menghadiahkan pahala bacaan
al-Quran kepada orang yang telah mati, tetapi pada kenyataannya Syeikhul
Islam Ibn Taimiyah telah ruju’ (menarik balik dan membatalkan fatwa beliau),
yang mana beliau telah menegaskan:
“Bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan
bagi para Salaf as-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah,
berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan
kepada orang yang telah mati”
Penarikan semula Syeikhul Islam Ibn Taimiyah
terhadap fatwa beliau yang pada asalnya membolehkan (menghadiahkan pahala
bacaan al-Quran kepada si Mati) kemudian mengharamkannya, ianya boleh
ditemui di dalam kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu”
- شرح مهذب تكملة
المجموع
jld. 10 hlm. 417.
Di dalam kitab(الخازن
الجمل) juz. 4 hlm. 236 dan di dalam kitab
“Syarah Muslim” juz 1 hlm. 90. Imam an-Nawawi rahimahullah telah
menjelaskan pendapat Imam as-Syafie tentang perbuatan yang diamalkan dalam
majlis kenduri arwah iaitu pengiriman pahala kepada orang mati. Beliau
berkata:
وَاَمَّا قِرَاءَ ةُ الْقُرْآنِ فَالْمَشْهُوْرُ مِنْ مَذْهَبِ الشَّافِعِى
اَنَّهُ لاَ تَصِلُ ثَوَابُهَا اِلَى الْمَيِّتِ.
“Adapun
bacaan al-Quran maka yang masyhur dikalangan mazhab Syafie bahawa tidak
sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati”.
Sekali lagi Imam an-Nawawi
rahimahullah menjelaskan dalam kitab
السبكي - تكملة المجموع ، شرح مهذب
juz 10 hlm. 426 bahawa:
وَاَمَّا قِرَاءَ ةُ الْقُرْآنِ وَجَعَلَ ثَوَابَهَا لِلْمَيِّتِ
وَالصَّلاَةُ عَنْهُ وَنَحْوَهَا فَذَهَبَ الشَّافِعِي وَالجُمْهُوْرُ
اَنَّهَا لاَ تَلْحَقُ الْمَيِّتَ ، وَكَرَّرَ ذَلِكَ فِى عِدَّةِ مَوَاضِعِ
فِى شَرْحِ مُسْلِمِ.
“Adapun
pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar
solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie
adalah tidak sampai kepada si Mati. Penjelasan seperti ini telah
diulang-ulang (oleh Imam Muslim) dalam kitab syarah Muslim”.
Di dalam kitab
الفتاوى الكبرى الفقهية
Syeikh al-Haitami rahimahullah
juga telah menjelaskan:
اَلْمَيِّتُ لاَيُقْرَاُ عَلَى مَااَطْلَقَهُ الْمُتَقَدِّمُوْنَ مِنْ اَنَّ
الْقِرَاءَ ةَ لاَ تصِلُهُ اَي الْمَيِّتَ لاَنَّ ثَوَابَهَا لِلْقَارِئ
وَالثَّوَابُ عَلَى عَمَلِ لاَيُنْقَلُ عَنْ عَامِلِ ذَلِكَ الْعَمَلِ ،
قَالَ تَعَالَى {وَاَنْ لَيْسَ للاِنْسَانِ اِلاَّ مَاسَعَى}.
“Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran
sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa
bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala
bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh
dipindah-pindahkan dari si Pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan
manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya
sendiri”.
Ada yang berpendapat bahawa ayat 39 di
surah an-Najm ini telah dan dimansuhkan oleh ayat 21 di surah ath-Thur.
Imam Syaukani rahimahullah menolak pendapat ini dan beliau berkata:
Adapun makna dari ayat: (Seseorang
tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri). Lafaz dalam ayat
ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang
berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang
khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya
sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa
seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai
takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah
ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.
Namun apabila dibuka secara ilmiyah ruang
agama untuk membincangkan, mengkaji dan meneliti semula amalan yang
diperkatakan di atas, terbukti ia terlalu bertentangan dengan syara, malah
termasuk dalam amalan atau perbuatan yang ditegah, diharamkan dan bid'ah.
Benarnya kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kita memahami kesemua
hujjah-hujjah dan dalil-dalil syara yang dikemukakan oleh para ulama dari
kalangan mazhab Syafie.
Walaupun ada pendapat yang menyangka
bahawa persoalan kenduri arwah, yasinan, tahlilan dan selamatan ini tidak
perlu diungkit dan dibangkitkan lagi kerana (kononnya) ia telah lama
diselesaikan oleh para ulama, namun perlu diketahui bahawa yang telah
diselesaikan oleh para ulama terutamanya Imam Syafie dan para ulama yang
bermazhab Syafie ialah tentang pengharaman dan bid’ahnya amalan tersebut
bukan sebaliknya. Pembuktian kenyataan ini dapat difahami dan dibuktikan
melalui beberapa fatwa Imam Syafie dan para ulama as-Syafieyah sebagaimana
yang telah di nukil di dalam tulisan ini.