HUKUM MENDOAKAN ORANG MATI
Apa yang
terdapat di dalam al-Quran, al-Hadis, contoh yang boleh diambil dari
perbuatan para sahabat dan amalan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang
berpegang dengan manhaj salaf hanyalah amalan berupa doa. Sememangnya doa
orang-orang beriman diterima oleh Allah dan akan sampai kepada orang yang
telah mati jika si Mati itu beriman. Namun berdoa yang dimaksudkan
bukanlah dengan cara mentahlilkan, meyasinkan dan membacakan al-Quran
beramai-ramai untuk si Mati sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang
awam (orang-orang jahil) dan para pembuat bid'ah.
Mendoakan si Mati
adalah sunnah hukumnya dan dibolehkan apabila mencontohi sunnah Nabi
Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat baginda atau
amalan orang-orang Salaf as-Soleh. Kemudian terserah kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala untuk diterima atau ditolak. Penjelasan ini
adalah bersandarkan kepada ayat-ayat di bawah ini:
وَالَّذِينَ جاءُ وْا مِنْ بَعْدِ هِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْـفِرْلَنَا
وَلاِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَ بِالاِيْمَانِ.
"Dan orang-orang yang datang sesudah
mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan
saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami".
AL HASYR, 59:10.
رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ
الْحِسَابِ.
"Ya Tuhan kami! Berilah keampunan
kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari
terjadinya hisab (Hari Kiamat)."
IBRAHIM, 14:41.
وَاسْتـَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ.
“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu
dan bagi orang-orang yang beriman".
MUHAMMAD, 47:19.
Memohon doa kepada Allah Subhanahu wa
Ta'ala sebagaimana yang terdapat pada dua ayat di atas termasuk
perbuatan ibadah bukan bid’ah. Walaupun ayat-ayat ini merupakan hujjah,
tetapi ia tidak menerangkan atau mengajar bagaimana cara berdoa selain
yang telah dikerjakan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam,
para sahabat, tabi’in dan tabi’u at-tabi’in yang dikenali sebagai para
Salaf as-Soleh.
Apa yang dilakukan oleh mereka yang menetapkan
hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau kerana sesuatu sempena yang
khusus dengan mengadakan majlis yasinan atau tahlilan maka itu adalah
bid'ah yang diada-adakan. Ayat-ayat yang lalu menganjurkan agar orang
beriman berdoa untuk dirinya sendiri, untuk saudara-maranya yang beriman
sama ada yang masih hidup atau yang telah mati (hanya begitu sahaja) tidak
lebih dari itu dan tidak pernah diajar bagaimana ianya dikerjakan.
Sesiapa yang menganjurkan atau mencipta
cara-cara tertentu yang diada-adakan dengan membaca al-Quran dan berdoa
seperti menganjurkan majlis yasinan dan tahlilan sebagaimana yang
dilakukan oleh aktivis bid'ah sekarang sedangkan tidak pernah disarankan
oleh al-Quran, diajar atau dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi
wa sallam dan para sahabat, maka ia telah melakukan bid'ah yang
ditolak dan diharamkan. Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam telah
memperingatkan tentang perkara-perkara yang sengaja dicipta dan
diada-adakan dengan sabdanya:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal
yang bukan dari perintah kami (Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya)
maka amalan itu tertolak".
H/R Muslim.
مَنْ اَحْدَثَ فِىْ اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌَّ. رواه
البخارى ومسلم.
"Barangsiapa yang mengada-adakan
sesuatu dalam urusan (agama) kami ini sedangkan ia bukan (dari kami) maka
ia tertolak".
H/R Bukhari dan Muslim
مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَى غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوِ رَدٌّ
Barangsiapa yang mencipta suatu
urusan (agama) yang bukan atas suruhan kami, maka ia tertolak (bid’ah)".
Sesiapa yang mendakwa bid'ah hasanah atau
sunnah mengadakan majlis-majlis tertentu seperti mengkhususkan suatu
majlis untuk tujuan berdoa atau upacara pembacaan ayat-ayat tertentu dari
al-Quran yang bertujuan untuk menghadiahkan (mengirim) pahalanya kepada
orang mati sedangkan tidak ada suruhan atau contoh dari syara, maka
segala dakwaan itu adalah suatu pembohongan terhadap Nabi sallallahu 'alaihi
wa sallam dan merupakan perbuatan bid'ah yang sesat bukan bid'ah
hasanah sebagaimana yang disangkakan.
Orang-orang yang
sengaja membohongi Nabi Muhammad salallahu 'alahi wa-sallam
terutamanya pada perkara-perkara akidah, ibadah atau agama, ia akan
menerima azab yang pedih, sebagaimana peringatan yang telah disampaikan
oleh baginda melalui hadisnya:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ.
الحديث المتواتر.
"Sesiapa yang berbuat dusta (pembohongan)
atas (nama)ku, maka hendaklah dia bersiap untuk menerima tempat duduknya
dari api neraka".
Hadis Mutawatir.
Tidak ada penetapan masa, hari, tempat dan cara
dalam beribadah kecuali yang telah ditetapkan oleh
al-Quran dan ditunjuk-ajar serta dicontohkan oleh Nabi Muhammad
sallallahu 'alaihi wa sallam. Apa pun jenis amal-ibadah sama ada
berdoa atau membaca al-Quran apabila dilakukan seorang diri, beramai-ramai,
diubah-suai, diadakan beberapa peraturan dan ditentukan cara-caranya, maka
ia termasuk perbuatan bid'ah lebih-lebih lagi apabila pahala bacaannya
diniatkan untuk dihadiahkan (dikirim) kepada orang mati.
Begitu juga dengan majlis-majlis kenduri arwah,
tahlilan, yasinan, selamatan dan sebagainya yang masih dilakukan oleh
masyarakat Islam Nusantara, di mana semua perbuatan tersebut amat nyata
tidak ada keterangan atau suruhan dari al-Quran dan al-Hadis. Dalam
larangan yang berkaitan dengan hal-hal bid'ah seperti ini kita boleh
mengambil hadis Nabi yang melarang pengkhususan ibadah, seperti
mengkhususkan ibadah dimalam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari
tertentu:
عَنْ أبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ: لاَتَخُصُّوا لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ بِقِيَامِ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِى
، وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمْعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اْلأيَّامِ
اِلاَّ أنْ يَكُونَ فِى صَوْمٍ يـَوْمُهُ أحَـدكُمْ.
"Dari Abi Hurairah, dari Nabi
sallallahu 'alaihi wa sallam: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk
melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu
menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain,
kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh
seseorang kamu."
Menetapkan
malam-malam tertentu sebagai malam sunnah untuk beribadah jika tidak ada
suruhan, tidak ada contoh dan tidak ada keizinannya dari syara (al-Quran
dan al-Hadis), yang hanya dilakukan semata-mata kerana meniru (taklid)
kepada perbuatan yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab adalah amalan bid'ah, bukan ibadah atau sunnah dan
ditolak oleh syara serta perlu ditinggalkan dan dijauhi oleh orang-orang
yang beriman. Allah Subhanahu wa ta'ala tidak menerima setiap
amalan yang dianggap bid'ah. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak
menerima (menolak) ibadah yang tidak mencontohi Nabi Muhammad
sallallahu 'alaihi wa sallam kerana baginda diutus semata-mata untuk
memberi contoh tauladan dalam melaksanakan ibadah, sebagaimana dijelaskan
dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فَى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ
يَرْجُوْا اللهَ وَاليَوْمِ اْلاَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا.
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu
tauladan (contoh ibadah) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang
mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak
mengingati Allah".
AL AHZAB, 33:21.
Ayat ini
telah menjelaskan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam
diutus hanyalah semata-mata untuk dijadikan contoh dalam mengamalkan
setiap ibadah jika seseorang itu mahu amal-ibadahnya diterima oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Sesiapa yang ingkar, menolak atau enggan
mematuhi dan mencontohi Nabi Muhaammad salallahu 'alaihi wa-sallam
dalam mengerjakan ibadah termasuklah bentuk bagaimananya
(كـَيْـفِـيـَّةٌ)
dan cara-caranya dalam melaksanakan setiap
ibadah maka dia telah melakukan bid'ah dan menolak (mengenepikan) peranan
Nabi Muhammad sebagai Rasul utusan. Hadis sahih di atas ini juga telah
dikuatkan lagi oleh beberapa hadis yang berikut:
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَـلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ قَالَ : كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُـلُوْنَ الْجَنَّةَ
اِلاَّ مَنْ اَبَى . قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ وَمَنْ يَاْبَى؟ قَالَ
مَنْ اَطَاعَنِيْ دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِيْ فَقَدْ اَبَى.
"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu
dari Nabi salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Setiap umatku akan masuk
syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai
Rasulullah! Siapakah orang yang enggan itu? Rasulullah menjawab:
Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka
kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan".
Nabi
Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam telah pun menunjuk ajar,
menerang, melaksana dan menentukan sah batalnya hukum-ahkam dalam syara
yang wajib dijadikan contoh dan dipatuhi oleh setiap mukmin. Sesiapa yang
menyalahi cara dan bagaimananya (kaifiat) Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi
wa sallam serta para sahabat melaksanakan ibadah, maka dia
telah membuat kemungkaran (bid'ah) dan fitnah. Allah Subhanahu wa
Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ
فِتْنَةٌ اَوْيُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ.
.
“Maka hendaklah diawasi oleh mereka
yang menyalahi perintahnya (perintah Allah dan Rasul) bahawa mereka akan
ditimpa fitnah atau ditimpa oleh siksa yang pedih".
AN NUR, 24:63.
تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاء لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَيَزِيْغُ عَنْهَا
بَعْدِيْ اِلاَّ هَالِكٌ.
"Aku telah tinggalkan pada kamu agama
ini dalam keadaan putih bersih (jelas). Malamnya seperti siangnya yang
tidak ada yang menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali akan
ditimpakan kepadanya) kehancuran".
Dalam urusan agama dan amal-ibadah
seseorang tidak boleh bersandar kepada sangkaan, andaian, perkiraan, atau
logika akal (otak manusia) semata-mata untuk menghukum sesuatu sebagai
wajib, haram, makruh, sunnah atau harus. Urusan ibadah bukanlah urusan
akal untuk mencipta dan menilainya. Agama dan hukum-ahkamnya adalah
urusan Allah Subhanahu wa Ta'ala Hanya Dia sahaja yang tahu dan
layak mencipta serta menguruskannya.
Seseorang yang telah mencipta sesuatu bentuk cara
ibadah ia telah termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyerupai
perbuatan Yahudi dan Nasrani. Telah disiapkan oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala tempat mereka itu di neraka kerana kemungkarannya menambah
serta mereka-cipta ibadah mengikut selera, andaian, perkiraan dan
sangka-sangkaan mereka sendiri. Jika gejala seperti ini tidak dibendung
dan dihapuskan oleh setiap pejuang sunnah, tidak mustahil akan terus wujud
berbagai-bagai lagi penambahan dan perbuatan bid'ah yang akan merosakkan
akidah, agama serta syariat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sangka-sangka
seperti ini telah diberitakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:
وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا.
"Dan mereka menyangka bahawa mereka
mencipta (ibadah) yang baik (untuk mereka)".
AL KAHFI, 18:104.
Perubahan
agama seperti yang telah menimpa ke atas agama-agama sebelum Nabi Muhammad
sallahu 'alaihi wa sallam tidak mustahil akan berlaku ke atas agama
Islam jika aktivis bid'ah yang fasik masih dibiarkan mencipta
berbagai-bagai bid'ah.
Di dalam kitab "ar-Risalah" oleh Imam
Syafie, beliau telah menyentuh isu bid'ah (sesuatu yang diada-adakan dalam
agama kemudian dianggap baik) dengan memberi peringatan tegas melalui
kata-kata beliau yang masyhur:
مَنِ
اسْتَحْسَنَ
فَقَدَ شَرَّعَ (وَمَنَ شَرَّعَ فَقَدْ كَفَرَ)
"Sesiapa yang beristihsan (menyangka
baik satu-satu amalannya yang direka), bererti dia telah membuat satu
syariat (dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir)".
Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa sallam tidak mengajarkan sesuatu yang tidak
jelas atau samar-samar dalam agama Islam, jauh sekali dari terlupa untuk
menyampaikan apa yang telah diterima dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Tidak ada lagi yang tertinggal untuk disampaikan kepada ummahnya walaupun
satu huruf. Baginda tidak pernah merasa takut atau gentar untuk
menyampaikan dan menyempurnakan dakwah Islamiyah yang berupa wahyu dari
Allah Subhanahu wa ta'ala.
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memberi
jaminan akan kesempurnaan dakwah dan penyampaian Nabi Muhammad
sallallahu 'alaihi wa sallam disetiap aspeknya. Setiap yang diterima
dari Allah Subhanahu wa Ta'ala tiada yang tertinggal untuk
disampaikan kepada ummah walaupun sekecil hama atau zarrah. Firman Allah:
اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ
وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan
agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah
Aku redai Islam menjadi agamamu".
AL MAIDAH,5:3.
Hakikatnya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa
sallam tidak pernah mencontohkan, menyuruh atau mengajar para sahabat
baginda cara sebagaimana yang diamalkan sekarang untuk membacakan al-Quran
atau menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati. Apa yang pernah
dilakukan dan diajarkan oleh baginda kepada para sahabat ialah cara-cara
berdoa untuk orang mati, cara menziarahi kubur dan salam serta ucapan yang
harus diucapkan semasa mereka masuk ke kawasan perkuburan (menziarahi
kubur) sebagaimana hadis sahih di bawah ini:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُـعَلـِّمُهُمْ اِذَا
خَرَجُوا اِلَى الـْمَـقَابِرِ فَكَانَ قَائـِلُهُمْ يـَقُولُ : اَلسَّلاَمُ
عَلَـيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْـمُـؤْمِـنـِيْنَ وَالْمُسْلِمِـيْنَ
فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِـقُـونَ اَنـْتـُمْ فَرَطْنَا وَنَحْنُ
لَكُمْ تـَبـعَ وَنـَسْألُ اللهَ لـَنَا وَلَكُمُ الْعَافِـيَـةَ.
"Pernah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam mengajar
para sahabat semasa mereka ingin berziarah kubur supaya mereka mengucapkan:
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ
وَالْمُسْلِمِيْنَ فَاِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ أنْتُمْ فَرَطْنَا
وَنَحْنُ لَكُمْ تَبَعَ وَنَسْـألُ اللهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةُ.
Dalam hadis
ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam mengajarkan para
sahabat cara memberi salam dan doa. Baginda tidak pernah pula mengajar
atau menyuruh membaca al-Quran semasa menziarahi kubur. Dalam hadis-hadis
yang sahih telah diceritakan bahawa Nabi pernah menziarahi perkuburan Baqi'
di Madinah tetapi tiada satu pun riwayat yang sahih menjelaskan bahawa
baginda pernah membaca al-Quran di atas kuburan atau menghadiahkan pahala
bacaan baginda kepada penghuni kubur di Baqi'.
Sekiranya amalan membaca al-Quran di kuburan atau
di mana sahaja yang bertujuan untuk menghadiahkan pahala bacaannya kepada
ahli kubur (arwah atau orang mati) itu baik dan mulia, ditambah pula
dengan mengadakan kenduri dan jemputan secara besar-besaran atau
kecil-kecilan itu juga boleh dianggap terpuji dan baik, tentulah Nabi
Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam orang yang pertama
melakukannya. Ini adalah kerana Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam
adalah insan yang paling takwa kepada Allah, paling kuat beribadah dan
paling cinta kepada kebaikan.
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi sallam
adalah Nabi yang sangat mencintai keluarga dan para sahabat tetapi semasa
berlaku kematian sahabat, tidak pernah baginda mengadakan kenduri tahlilan
atau yasinan untuk menghadiahkan bacaan al-Quran kepada sahabat baginda
itu.
Jika sekiranya pahala
membaca al-Quran boleh dihadiahkan kepada para arwah di kubur untuk
menolong dan menambah pahala orang yang telah mati, tentulah Nabi
sallallahu 'alaihi wa sallam awal-awal lagi telah membacakan
al-Quran untuk dihadiahkan pahala bacaannya kepada arwah sahabat-sahabat
yang sangat baginda cintai dan kubur mereka sering baginda ziarahi.
Perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa
sallam adalah perbuatan bid'ah kerana tiada contoh dan suruhan dari
baginda.
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam
mengetahui semua ibadah yang paling baik dan sempurna, disusuli oleh para
sahabat kerana mereka hidup di samping Nabi sallallahu 'alaihi wa
sallam, di zaman turunnya al-Quran, dikurun yang terbaik dan dizaman
terlaksananya keseluruhan suruhan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi mereka
tidak pernah mengadakan kenduri arwah, tahlilan atau amalan yang khusus
untuk orang mati sebagaimana yang dilakukan oleh aktivis bid'ah dewasa ini.
Cara untuk berdoa atau bersedekah dari harta
peninggalan si Mati tidak semestinya melalui kenduri tahlilan, yasinan
atau dibaca beramai-ramai melalui majlis-majlis keramaian, majlis kenduri
atau sebagainya kerana perbuatan serupa itu tidak ada suruhan dari al-Quran,
sama sekali tidak ada contohnya dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi
wa sallam, dari para sahabat atau dari golongan Salaf as Soleh.
Mengerjakan sesuatu yang dianggap ibadah jika tiada suruhan dan tiada
contohnya dari syara adalah bid'ah dhalalah. "Semoga Allah Subhanahu
wa Ta'ala menjauhkan kita dari bid'ah yang menyesatkan dengan sentiasa
memberikan hidayah-Nya".
Tidak ada jalan keluar untuk menyelamatkan ibadah
dan akidah seseorang dari terjebak ke kancah kesesatan (bid'ah), khurafat
dan kemungkaran (syirik) kecuali setelah kembali kepada al-Quran, al-Hadis
yang sahih dan ijmak ulama Salaf as-Soleh. Dan hanya dengan memahami
kedua-dua kitab ini kemudian terus mematuhinya akan menanamkan keyakinan
akidah yang murni di samping menunjuk ajar cara yang sempurna untuk
mengatur segala muamalah dalam kehidupan manusia yang beriman.
Hadis-hadis sahih pula
akan memberikan segala contoh yang telah ditunjuk dan dilaksanakan oleh
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam supaya diimani,
diamalkan dan dipatuhi. Hanya dengan berpegang teguh kepada gabungan dua
kitab ini sahajalah yang dapat membuka pintu hidayah untuk seseorang
sehingga segala ubudiyahnya terhadap Allah benar-benar bersih dari segala
unsur bid’ah dan jahiliah yang menyesatkan. Inilah yang dinamakan "tazkiyah"
atau "tasfiyah" di dalam syara.