KENDURI ARWAH
Majlis
kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan
hidangan jamuan (makanan) di rumah si Mati. Kebiasaannya diadakan sama
ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh,
keseratus, setahun dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada
kepercayaan ini atau kepada si Mati. Malangnya mereka yang mengerjakan
perbuatan ini tidak menyedari bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam
Syafie rahimahullah dan para ulama besar dari kalangan yang
bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membid’ahkan perbuatan atau amalan
yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini.
Di dalam kitab
(اعانة الطالبين)
juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam Syafie
rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana
ketegasan beliau dalam fatwanya:
وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث
وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ
“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada
hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu.
Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.
Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar
(ائمة العلماء الشافعية)
yang berpegang kepada mazhab Syafie,
dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan bahawa
yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran,
kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli
si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:
وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا
لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا
يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.
“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati
menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya
sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.
Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis
sahih:
قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ
قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ
جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه
الحاكم)
“Abdullah bin
Ja’far berkata: Ketika
tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi
wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga
Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”.
Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh
al-Hakim.
Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri
arwah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati
termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan
anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan
perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa
makan harta anak-anak yatim hukumnya haram. Telah dinyatakan juga di
dalam kitab
(اعانة الطالبين)
jld. 2. hlm. 146:
وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ
الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ
“Imam Syafie berkata lagi: Dibenci bertetamu dengan
persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah
sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.
Seterusnya di dalam kitab
(اعانة الطالبين)
juz. 2. hlm.
146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:
وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا يَفْعَلُ
النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ
حَرَامٌ
“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang
yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui
upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal
semuanya ini adalah haram”.
Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan
dan yasinan beramai-ramai) dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari
ketujuh, dihari keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian
dan dihari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat
Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie.
Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan
perbuatan yang haram dan bid’ah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang
agung ini.
Seterusnya terdapat dalam kitab yang sama
(اعانة الطالبين)
juz 2. hlm. 145-146, Mufti yang bermazhab Syafie al-Allamah
Ahmad Zaini bin Dahlan rahimahullah menukil fatwa Imam Syafie yang
menghukum bid’ah dan mengharamkan kenduri arwah:
وَلاَ شَكَّ اَنَّ مَنْعَ النَّاسِ مِنْ هَذِهِ الْبِدْعَةِ الْمُنْكَرَةِ
فِيْهِ اِحْيَاءٌ لِلسُّنَّةِ وَاِمَاتَةٌ لِلْبِدْعَةِ وَفَتْحٌ لِكَثِيْرٍ
مِنْ اَبْوَابِ الْخَيْرِ وَغَلْقٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الشَّرِّ ،
فَاِنَّ النَّاسَ يَتَكَلَّفُوْنَ تَكَلُّفًا كَثِيْرًا يُؤَدِّيْ اِلَى اَنْ
يَكُوْنَ ذَلِكَ الصُّنْعُ مُحَرَّمًا .
“Dan tidak boleh diragukan lagi bahawa melarang (mencegah)
manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi untuk menghidupkan sunnah
dan mematikan (menghapuskan) bid’ah, membuka banyak pintu-pintu kebaikan
dan menutup pintu-pintu keburukan dan (kalau dibiarkan bid’ah berterusan)
orang-orang (awam) akan terdedah (kepada kejahatan) sehingga memaksa diri
mereka melakukan perkara yang haram”.
Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis
tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama
dihari khaul
.(خول)
Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah, diharamkan dan
dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah
ditegaskan oleh beliau:
مَا
يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصُنْعِ
الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ
“Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul
dirumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan
bid’ah yang mungkar”. Lihat:
اعانة الطالبين
juz 2 hlm. 145.
Di dalam kitab fikh
(حاشية القليوبي)
juz. 1 hlm. 353 atau di kitab
قليوبى - عميرة) -(حاشيتان
juz.
1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramli rahimahullah yang
mana beliau berkata:
قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ
فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى
الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ
اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ
حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ
مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ
ذَلِكَ.
“Telah berkata
Syeikh kita ar-Ramli: Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika
dikerjakan ialah sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah”
iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan
makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati sama sebelum atau sesudah
kematian, termasuklah (bid’ah yang mungkar) penyembelihan untuk si Mati,
malah yang demikian itu semuanya haram terutama jika sekiranya dari harta
yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau
harta yang masih dalam hutang (belum dilunas) atau seumpamanya”.
Di dalam kitab
(الفقه على المذاهب الاربعة) jld.1
hlm. 539, ada dijelaskan bahawa:
وَمِنَ الْبِدَعِ الْمَكْرُوْهَةِ مَا يَفْعَلُ الآن مِنْ ذَبْحِ
الذَّبَائِحَ عِنْدَ خُرُوْجِ الْمَيِّتِ اَوْ عِنْدَ الْقَبْرِ وَاِعْدَادِ
الطَّعَامِ مِمَّنْ يَجْتَمِعُ لِتَّعْزِيَةِ .
“Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi
amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si
Mati telah keluar dari rumah (telah dikebumikan). Ada yang melakukan
sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang
berkumpul untuk takziyah”.
Kenduri arwah pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan
kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala
melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa
beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati. Mungkin persoalan ini
dianggap isu yang remeh, perkara furu', masalah cabang atau ranting oleh
sebahagian masyarakat awam dan dilebih-lebihkan oleh kalangan mubtadi'
(مبتدع)
"pembuat atau aktivis bid'ah"
sehingga amalan ini tidak mahu dipersoalkam oleh pengamalnya tentang haram
dan tegahannya dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama yang
bermazhab Syafie.
Pada hakikatnya,
amalan mengirim atau menghadiahkan pahala bacaan seperti yang dinyatakan
di atas adalah persoalan besar yang melibatkan akidah dan ibadah. Wajib
diketahui oleh setiap orang yang beriman bahawa masalah akidah dan ibadah
tidak boleh dilakukan secara suka-suka (tanpa ada hujjah atau dalil dari
Kitab Allah dan Sunnah RasulNya), tidak boleh berpandukan pada anggapan
yang disangka baik lantaran ramainya masyarakat yang melakukannya, kerana
Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran yang tegas kepada
mereka yang suka bertaqlid (meniru) perbuatan orang ramai yang tidak ada
dalil atau suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:
وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ
سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ
يَخْرُصُوْنَ
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti)
orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri
kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan
belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)".
Al-An'am, 6:116.
Begitu
juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib
atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu,
antara amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan)
maka lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama
dalam amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya,
maka kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah.
Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang
benar-benar telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia
dianggap sebagai ibadah sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ
تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ
يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا
"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat
(peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah
syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak
mengetahui (orang jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan
dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".
Al-Jasiyah, 45:18-19.
Setiap
amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian mengikut
perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya orang
yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah
dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau
bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah)
menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan
oleh Imam Syafie rahimahullah. Memandangkan polemik dan persoalan
kenduri arwah kerapkali ditimbulkan dan ditanyakan kepada penulis, maka
ia perlu ditangani dan diselesaikan secara syarii (menurut hukum dari al-Quran
dan as-Sunnah) serta fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan
Salaf as-Soleh yang muktabar. Dalam membincangkan isu ini pula, maka
penulis tumpukan kepada kalangan para ulama dari mazhab Syafie kerana
ramai mereka yang bermazhab Syafie menyangka bahawa amalan kenduri arwah,
tahlilan, yasinan atau amalan mengirim pahala adalah diajarkan oleh Imam
Syafie dan para ulama yang berpegang dengan mazhab Syafie.
Insya-Allah, mudah-mudahan tulisan ini bukan sahaja dapat
menjawab pertanyaan bagi mereka yang bertanya, malah akan sampai kepada
mereka yang mempersoalkan isu ini, termasuklah mereka yang masih tersalah
anggap tentang hukum sebenar kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) menurut
Ahli Sunnah wal-Jamaah.