Biodata Ustaz Rasul DahriAnda bertanya Ustaz menjawabKitab-kitab referensiLink IslamiHubungi webmasterLelaman utama
Hukum Berzanji, Maulid dan Nur Muhammad

Kertas kerja ini telah dikulliahkan sebanyak empat siri di Perlis, Selangor (termasuk Kuala Lumpur), Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Singapura. Kertas kerja ini juga telah dijadikan buku yang terpisah dari “koleksi Kuliah-Kuliah Akidah” dan dilengkapkan dengan empat buah rakaman pita.  Diedarkan ke seluruh Malaysia, Singapura, Brunai, Indonesia dan selatan Thailand.  Semoga para pembaca dapat memiliki buku dan rakaman pita selain koleksi yang berada di tangan pembaca ini.

            Mudah-mudahan Allah memberkati kita semua dan sentiasa memelihara akidah, amal ibadah dan keikhlasan kita. Semoga juga kita semua dimasukkan ke dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman, bertakwa, soleh, berilmu dan mentaati Allah Tabaraka wa-Ta’ala.  Amin!!

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبَّ الْعَالَمِيْنَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الاَنْبِيَاءِ والْمُرْسَلِيْنَ ، نَبِيِّنَا مَحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمنْ تَبِعَهُ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنَ . اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحْمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ.  أمَّا بَعْدُه:

Syara telah mengharamkan seseorang yang beriman memberi sifat kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang bukan selayaknya diberikan kepada baginda.  Perbuatan mengangkat Rasulullah dengan memberikan sifat ketuhanan kepada baginda adalah perbuatan syirik yang masih diamalkan oleh ramai masyarakat Islam yang keliru tentang makna pengertian cinta kepada nabinya.  Perbuatan seperti ini telah dilakukan terutamanya oleh kebanyakan orang-orang tarikat batiniyah, sufi (tasawuf) yang ghulu kepada Rasulullah sehingga menjejaskan akidah mereka.  Contohnya dapat diambil dari beberapa kata-kata dan syair-syair orang-orang tarikat batiniyah dan sufi/tasawuf yang nyata telah menyeleweng dari dasar akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar:

يَا عَلاَّمَ الْغُيُوْبِ قَدْ لَجَاْنَا اِلَيْكَ

يَاشِفَاءَ الْقُلُوْبِ اَلصَّلاَةُ عَلَيْكَ.

"Hai orang yang mengetahui perkara yang ghaib! Sesungguhnya kami berlindung kepadamu. Hai pengubat hati!  Semoga dicurahkan selawat kepadamu".

            وَمَنْ تَكُوْنُ بِرَسُوْلِ اللهِ نُصْرَتُهُ

        اِنْ تَلَقَّهُ اْلاُسُدُ فِى اَجَامِهَاتِهِمْ

        مَاسَامَنِى الدَّهْرُ ضَيْمًا وَاسْتَجَرْتُ

        اِلاَّ وَنِلْتُ جِوَارًا مِنْهُ لَمْ يُضَمْ

Barangsiapa mengambil Rasulullah sebagai penolongnya

diketika dia bertemu dengan serigala di tengah hutan belantara,

yang menunjukkan keganasannya.

Tidak pernah menimpaku kezaliman sepanjang waktu

kecuali aku meminta pertolongan kepada Rasulullah

yang tiada sia-sia pertolongannya.

 

                Syair ini sering dijadikan bacaan dan amalan wirid oleh golongan tarikat batiniyah dan para pengikut sufi/tasawuf, ini menunjukkan bahawa mereka melakukan kesyirikan semasa meminta pertolongan dari Allah, kerana di samping meminta kepada Allah mereka juga menyekutukannya dengan menyeru dan meminta kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Perbuatan seperti ini jelas membawa kepada kesesatan dan kesyirikan kerana bertentangan dengan firman Allah:

فَلاَ تَجْعَلُوْا للهِ اَنْدَادً وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

 “Oleh kerana itu, janganlah kamu mengadakan bagi Allah seruan-seruan yang lain padahal kamu mengetahui”. Al-Baqarah, 2:22.

وَمَا النَّصْرُ اِلاَّ مِنْ عِنْدِ اللهِ الْعَزِيْزِ الْحَكِيْمِ.

"Dan kemenangan itu hanyalah (apabila dipinta) dari sisi Allah  Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Ali Imran, 3:126.

 

اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

 

"Dan apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah kepada Allah.  Dan apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah semata-mata kepada Allah".[1]

            Sesiapa yang memberikan sifat ketuhanan atau sifat yang hanya layak untuk Allah kepada nabi, rasul, wali, roh suci atau syeikh sufi/tasawuf seperti bernazar kepada mereka sehingga disangkanya nabi, rasul dan wali tersebut mengetahui urusan yang ghaib, dapat menunaikan seruan dan permohonan, maka ia telah melakukan kesyirikan kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Begitu juga kepada mereka yang menerima fahaman tarikat "Nur Muhammad", yang mentaqdiskan Nabi Muhammad sehingga melampaui batas (ghulu), mereka telah mengangkat baginda ke tahap ketuhanan dan perbuatan mereka adalah suatu kesyirikan yang nyata.  Apa itu tarikat "Nur Muhammad?".  


Kepercayaan Nur Muhammad (Hakikat Muhammadiyah)

            Antara beberapa iktikad batil dan sesat yang sudah tersibar luas dan menjadi anutan majoriti masyarakat Islam Nusantara ialah tarikat Nur Muhammad.  Tarikat ini selain dikenali sebagai Nur Muhammad ia disebut dan dikenali juga sebagai "Hakikat Muhammadiyah”.  Nama ini terdapat di dalam kitab Berzanji:

وَلَمَّا اَرَادَ اللهُ تَعَالَى اِبْرَازَ حَقِيْقَتِهِ الْمُحَمَّدِيَّةِ

      "Dan tatkala Allah hendak melahirkan (ke alam nyata) HakikatNya Muhammadiyah".[2]

            Selain dikenali sebagai tarikat "Nur Muhammad" dan "Hakikat Muhammadiyah" maka tarikat ini dikenali juga sebagai tarikat "Roh Muhammad".  Nama ini diambil dari kepercayaan adanya roh yang berpindah-pindah (inkarnasi).  Iaitu roh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang berpindah-pindah dari moyang baginda sehinggalah kepada ayahndanya Abdullah bin Abdul Mutalib.  Penerangan tentang "Roh Muhammad" terdapat juga di dalam kitab Berzanji:

وَاُصَلِّيْ وَاُسَلِّمُ عَلَى النُّوْرِ الْمَوْصُوْفِ بِالتَّقَدُّمِ وَاْلاَوَّلِيَّةِ الْمُنْتَقِلِ الْغُرُرِ الْكَرِيْمَةِ وَالْحِبَاهِ.

 

  "Dan lagi aku memohon kepadaNya moga-moga Allah mencucuri rahmat dan selamat kepada an-Nur yang Dia telah jadikan terdahulu daripada segala makhluk yang lainnya.  Iaitu nur yang berpindah-pindah daripada satu dahi kepada satu yang mulia keadaannya, iaitu moyang-moyang Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam yang mulia sehingga dahi Abdullah ayahandanya".[3]

             Kepercayaan perpindahan roh (inkarnasi) yang disebut juga "Kitaran Roh/Hayat" adalah konsep yang terdapat dalam kepercayaan agama Hindu.  Kepercayaan ini bertentangan dengan nas al-Quran kerana setiap roh orang yang telah mati berada di barzah, iaitu tembok yang membatasi antara dunia dan akhirat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بَرْزَخٌ اِلَى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ.

      

       "Di hadapan mereka (para roh) ada dinding (tembok sebagai pemisah) sampailah mereka dibangkitkan". Al-Mu'minun, 23:100.

“Hakikat Muhammadiyah” diistilahkan sebagai "Qutub" oleh sebahagian tarikat sufi/tasawuf.  Malah hakikat Muhammadiyah tidak ada perbezaan dengan konsep Imam maksum dalam ajaran Syiah, Ismailiyah dan batiniyah.[4]  Pada hakikatnya akidah yang telah disebar luaskan oleh golongan tarikat batiniyah dari kalangan penganut sufi/tasawuf ini dapat dibuktikan membawa kepada kesesatan dan syirik, kerana penganutnya meyakini bahawa dunia, sekalian alam dan segala isinya diciptakan bersebab dari Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Kononnya berpunca dari Nur Muhammad segala sesuatu terjadi.  Ini adalah iktikad batil yang sama sekali tidak ada asas dan dalilnya dari syara.

            Orang yang pertama menghidupkan teori Nur Muhammad ini ialah al-Hallaj.  Sesudah beliau, diperluas dan diperkembangkan oleh Ibn Arabi.  Malah yang paling aktif menyebarkan ajaran ini adalah golongan Syiah kerana terdapat dalam kepercayaan mereka keyakinan bahawa:

      "Nur Muhammad itu qadim dan bersambung terus-menerus kepada nabi-nabi, rasul-rasul, imam-imam (Syiah) dan para wali (dari kalangan Syiah)".

                Antara orang yang terus menyebar dan giat menghidupkan semula teori khurafat dan sesat ini secara tulisan ialah seorang lelaki Mesir bernama "Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi".  Teori syirik ini dikembangkan oleh beliau melalui tulisannya yang dipenuhi dengan kebatilan: (اَنْتَ تَسْاَلُ وَاْلاِسْلاَمُ يَجِبُ). 

            Dasar fahaman ini diambil dari fahaman kerohanian teosofi yang meyakini bahawa segala-galanya bermula dari nur (cahaya), sama ada yang lahir (makrifat) dan yang batin (hakikat).  Fahaman ini juga dipengaruhi oleh teori Neoplatonisme melalui konsep "Emanasi", iaitu segalanya adalah pancaran cahaya yang mengalir dari Tuhan sebagai sebab utama yang dikenali sebagai teori "al-Fiadh" atau apa yang diistilahkan oleh golongan tarikat sufi/tasawuf fahaman Ibn Arabi sebagai "Tajalli".

            Golongan tarikat batiniyah dan para penganut sufi/tasawuf yang berpegang dan percaya dengan fahaman "Nur Muhammad" meyakini bahawa semua para malaikat seperti Jibril, Mikail, Israfil serta semua para nabi dicipta dari pantulan Nur Muhammad:

فَجَمِيْعُ اْلاَنْبِيَاءِ خُلِقُوْا مِنْ نُوْرِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

     "Maka sekalian para nabi telah dicipta dari Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam".[5]

Kononnya berkat Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam terciptalah segala makhluk seperti tujuh petala langit dan penghuninya, bintang-bintang dan bumi serta segala yang terdapat di permukaan dan di dasar lautannya, termasuklah syurga dan neraka semuanya  bersumber dari satu unsur iaitu berkat Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Kepercayaan seperti ini perlu dibasmi atau dihapuskan oleh golongan ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah, kerana ia membawa kepada khurafat dan tahayyul yang menyebabkan rosaknya akidah orang yang mempercayainya sehingga berlaku kesyirikan.

            Terdapat banyak syair-syair dan hadith-hadith lemah dan palsu yang dijadikan pegangan dan hujjah oleh penganut fahaman ini untuk menguatkan dakwaan mereka.  Antara syair dan hadith tersebut ialah:

اِنَّ اللهَ خَلَقَ رُوْحَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ذَاتِهِ وَخَلَقَ الْعَالَمَ بَاسِرَهُ مِنْ نُوْرِ مُحَمَّدٍ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

Sesungguhnya Allah mencipta roh Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari zatNya dan alam seluruhnya dijadikan dari Nur Muhammad".[6]

            Bersempena dari hadith palsu di atas ini dan beberapa lagi hadith palsu yang lain, lahir kepercayaan yang lebih menyimpang jauh sebagaimana yang dipersetujui oleh syair-syair di kitab berzanji antaranya ialah:

نَتَوَسَّلُ اِلَيْكَ بِشَرَفِ الذَاتِ الْمُحَمَّدِيَّةِ.

 

      "Dan kami (bertawassul) bermohon kepadaMu berkat kemuliaan hakikat al-Muhammadiyah".[7]

            Fahaman tajalli (penjelmaan/bersatu) Allah dengan makhluk, atau sekalian alam sama ada alam dunia atau akhirat sebagaimana yang terdapat dalam kepercayaan Nur Muhammad sehingga mensekufukan hakikat Nabi Muhammad dengan hakikat Allah adalah perbuatan syirik.  Fahaman ini berdasarkan pengaruh ajaran Syiah berkaitan konsep wahdatul wujud, hakikat Muhammadiyah dan Imam Mahadi.  Teori ini sefahaman dengan teori “Qutub” dalam fahaman sufi/tasawuf.  Fahaman batil dan sesat ini telah dikembangkan oleh Ibn Arabi (1165-1240M).

            Seterusnya antara hadith palsu yang menjadi pengangan penganut Nur Muhammad ialah:

لَوْلاَكَ مَا خُلِقَتِ الدُّنْيَا.

 

      "Kalaulah tidak kerana engkau (ya Muhammad!) dunia ini tidak akan diciptakan".

            Menurut Ibn Qaiyim rahimahullah bahawa hadith ini adalah hadith palsu (موضوع).  Malah al-Bushairi juga telah membuat pembohongan ketika mengatakan perkara ini melalui syairnya:

وَكَيْفَ تَدْعُوْا اِلَى الدُّنْيَا ضَرُوْرَةُ مَنْ

لَوْلاَهُ لَمْ تُخْلَقِ الدُّنْيَا مِنَ الْعَدَمِ.

      Bagaimana keperluan seseorang dapat menarik kepada keduniaan, padahal kalaulah bukan kerana Muhammad dunia tidak akan diciptakan yang sebelumnya tidak ada.[8]

            Kepercayaan hakikat Nur Muhammad yang selama ini dipegang, menjadi ikutan dan disebarkan oleh penganut tarikat sufi/tasawuf tentang konsep Nur Muhammad, ianya amat nyata suatu pembohongan. Kekarutan ini juga terdapat di dalam kitab Berzanji iaitu dalam ungkapan:

وَبَعْدُ فَاَقُوْلُ هُوَسَيِّدُنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِالله بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ.

 

      "Aku nyatakan bahawa Nur yang tersebut tadi itu akhirnya telah menjadilah Penghulu kita Saidina Muhammad (moga-moga Allah kurniakan kesejahteraan kepadanya) Saidina Muhammad itu ialah anak Abdullah, dan Abdullah itu anak Abdul Muttalib".[9]

            Kepercayaan Nur Muhammad sebagaimana yang terdapat ungkapannya di dalam kitab Berzanji, ianya jelas  bertentangan dengan dalil-dalil syara, kerana menurut keterangan dari al-Quran dan hadith-hadith sahih, yang terdahulu dijadikan oleh Allah bukan Nur Muhammad, jika manusia maka manusia pertama yang dicipta oleh Allah ialah Adam 'alaihi as-salam.  Makhluk-makhluk yang dicipta selepas 'Arasy pula adalah qalam sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

اِنَّ اَوَّلَ مَا خَلَقَ اللهُ الْقَلَمَ.

 

      "Sesungguhnya permulaan makhluk yang diciptakan oleh Allah ialah qalam".[10]

            Antara unsur-unsur syirik yang terdapat di dalam fahaman tarikat sufi/tasawuf Nur Muhammad ini boleh kita lihat dalam lirik bait berikut:

اَنْتَ شَمْسٌ اَنْتَ بَدْرٌ  *  اَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ.

 

      "Engkau matahari, engkau bulan purnama * Engkaulah cahaya di atas cahaya".[11]

اَنْتَ الَّذِيْ اَشْرَقْتَ فِىاُفُقِ الْعُلاَ * فَمَحَوْتَ بِاْلاَنْوَارِكُلَّ ضَلاَلِ

         "Engkaulah yang menyinari di ufuk yang tinggi * Engkau hapuskan setiap kegelapan dengan cahaya-cahayamu".[12]

            Ungkapan dalam bait di atas iaitu: "Engkaulah cahaya di atas cahaya" menggambarkan bahawa Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam setara atau sekufu (sama) dengan Nur Allah.  Sedangkan ia bertentangan dengan firman Allah:

اَللهُ نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ.

 

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada yang) di langit dan bumi". An-Nur, 24:35.

            Ajaran ghulu (keterlaluan atau melampaui batas) dalam memuji-muja dan pensucian (takdis) terhadap Nabi Muhammad menjadikan penganut tarikat ini terkeluar dari cintakan nabi yang digariskan oleh syara.  Sedangkan Allah mengharamkan ghulu kepada semua penganut agama samawi.  Firman Allah:

يَااَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُوْا فِى دِيْنِكُمْ وَلاَ تُقُوْلُوْا عَلَى اللهِ اِلاَّ الْحَقَّ اِنَّمَا الْمَسِيْحُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُوْلُ اللهِ وَكَلِمَاتُهُ اَلْقَاهُا اِلَى مَرْيَمَ وَرُوْحٌ مِّنْهُ.

 

"Wahai Ahli Kitab!  Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.  Sesungguhnya al-Masih 'Isa bin Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimahNya, yang disampaikanNya kepada Maryam dan dengan tiupan roh dariNya". An-Nisa, 4:171.

 

Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

 

لاَ تَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطرتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ اَنَا عَبْدٌ فَقُوْلُوْ عَبْدَ اللهِ وَرَسُوْلَهُ.

      

"Janganlah kamu menyanjungku sehingga melampaui batas sebagaimana pemujaan Nasrani terhadap Ibnu Maryam, sesungguhnya aku ini seorang hamba, maka katakanlah oleh kamu hamba Allah dan RasulNya".[13]

            Allah Subhanahu wa-Ta'ala mencipta dunia dan segala isinya terutama jin dan manusia bukanlah lantaran Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi mereka dicipta semata-mata supaya mengajak (menyeru) sekalian manusia mentauhidkan Allah Subhanahu wa-Ta'ala dalam akidah dan juga dalam beribadah kepadaNya sebagaimana firmanNya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.

      "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Adz-Dzariyat, 51:56.

            Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan sekalian makhluk (hamba Allah), sama ada yang beriman atau yang tidak beriman semuanya asal mulanya dari Nabi Adam 'alaihi as-salam dan Nabi Adam dicipta dari tanah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا اْلاِنْسَانَ مِنْ سُلاَلَةٍ مِنْ طِيْنٍ.

      "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (yang berasal) dari tanah". Al-Mukminun, 23:12.

 

اِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ اِنِّيْ خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِيْنٍ

 

      "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:  Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Saad, 38:17.

 

هُوَ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ.

 

"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis air mani kemudian dari segumpal darah". Gafir, 40:67.

 

هُوَالَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَازَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيْرًا وَنِسَآءًا وَاتَّقُوْا اللهَ الَّذِيْتَسَآءَ لُوْنَ بِهِ وَاْلاَرْحَامَ اِنَّ اللهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيْبًا.

 

      "Hai sekalian manusia!  Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.  Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama yang lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim.  Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu". An-Nisa, 4:1.

 

كُلُّكُمْ بَنُوْا آدَمَ وَآدَمَ خُلِقَ مِنْ تَرَابٍ.

      "Kamu semua adalah anak keturunan Adam.  Dan Adam diciptakan dari tanah".[14]

                Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam  adalah seorang manusia seperti seluruh manusia yang lain.  Baginda dari keturunan Adam dan diciptakan dari tanah sebagaimana dicipta Nabi Adam 'alaihi as-salam, nabi-nabi, para rasul atau para wali Allah sekalian:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اِنَّمَآاِلَهَكُمْ اِلَهٌ وَّاحِدٌ.

 

      Katakanlah!  Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku:  Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa". Al-Kahfi, 18:110.

 

وَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ.

      "Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:  Sesungguhnya aku adalah manusia biasa seperti kamu".[15]

            Hanya kelebihan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam ialah baginda seorang penghulu anak keturunan Adam sebagaimana sabda baginda:

اَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ.

"Aku adalah penghulu anak keturunan Adam".[16]

Pada hadith sahih ini dijelaskan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam hanya sebagai penghulu anak keturunan Adam 'alaihi as-salam dan di hadith yang lain pula dijelaskan sebagai maktub (مَكْتُوْبٌ) "Tertulis" dan bukan disebut dengan sebutan makhluk (مَخْلُوْقٌ) "Dicipta" sebagaimana yang ditegaskan oleh hadith sahih di bawah ini:

اَنَا عِنْدَ اللهِ مَكْتُوْبٌ خَاتِمُ النَّبِيِّيْنَ.

 

         "Sesungguhnya aku di sisi Allah telah tercatit sebagai penutup para Nabi".

            Terdapat banyak hadith-hadith yang menjelaskan tentang kejadian Nabi Adam 'alaihi as- salam dan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Adapun hadith-hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah nabi, rasul dan manusia yang mula-mula dicipta adalah hadith-hadith yang lemah.  Antara hadith tersebut ialah:

كُنْتُ اَوَّلُ النَّبِيِّيْنَ فِى الْخَلْقِ وآخِرُهُمْ فِى الْبَعْثِ.

      "Aku adalah permulaan para nabi dalam penciptaannya dan juru kunci (penutup) mereka diutus".

            Menurut Ibnu Kathir, al-Munawi dan Nasruddin al-Albani rahimahumullah bahawa hadith ini adalah hadith yang lemah.  Hadith ini menyalahi al-Quran dan hadith-hadith lain yang sahih.  Malah menyalahi akal fikiran dan perasaan yang waras, oleh sebab itu tidak ada seorang pun yang dicipta dan dilahirkan sebelum  Nabi Adam alaihi as-salam.[17]

            Tidak ada seorang pun manusia yang diciptakan dari nur atau cahaya.  Hanya para malaikat sahaja yang diciptakan dari nur tetapi para malikat bukan dari golongan manusia.  Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam di dalam sabdanya:

خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُوْرٍ وَخُلِقَ الْجَآنُ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ . وَخُلِقَ آدَمَ مِمَّا وَصَفَ لَكُمْ.

 

        "Malaikat diciptakan dari nur.  Jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam diciptakan dari apa yang telah disifatkan kepada kamu (dari tanah)".[18]

            Adapun hadith yang dijadikan hujjah oleh golongan tarikat sufi/tasawuf Nur Muhammad untuk menyatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah dicipta dari nur, kesemuanya adalah dari jenis hadith-hadith yang lemah atau palsu.  Antara hadith-hadith tersebut ialah:

اَوَّلُ مَا خَلَقَ اللهُ نُوْرَ نَبِيِّكَ يَا جَابِرُ.

 

"Wahai Jabir!  Yang pertama kali diciptakan Allah ialah nur NabiMu".

Menurut Muhammad bin Jamil Zinu:  Hadith ini adalah hadith (حديث مكذوب) "Hadith bohong/palsu" atas nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Ia bukan hadith sahih sebagaimana yang didakwakan oleh asy-Sya'rawi.  Amat jelas isi kandungannya bertentangan dengan al-Quran al-Karim dan hadith yang sahih yang menjelaskan dengan tegas bahawa manusia yang pertama dicipta adalah Adam 'alaihi as-salam dan Adam dijadikan dari tanah.  Seandainya ada dari makhluk lain ia adalah qalam.  Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam hanyalah anak keturunan Adam, tidak dicipta dari nur.

            Kepercayaan karut dan khurafat ini tertulis di dalam kitab Maulid Berzanji Daiba'i:

لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، فَسُبْحَانَهُ مِنْ مَّلِكٍ اَوْجَدَ نُوْرَ نَبِيِّهِ مَحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نُوْرِهِ قَبْلَ اَنْ يَخْلُقَ آدَمَ مِنَ الطِّيْنِ اللاَّزِبِ

      "Tiada Tuhan melainkan Allah, Maha Suci Dia Tuhan yang telah mencipta nur NabiNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari nurNya sebelum diciptanya Adam dari tanah liat".[19]

            Nabi Muhammad adalah manusia biasa seperti kita dan manusia-manusia yang lain.  Hanya baginda sahaja secara khusus dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu, menjadi Nabi dan Rasul.  Manusia tidak boleh menganggap Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai nur, tetapi mereka wajib menganggap baginda sebagai manusia.[20]

            Pada dasarnya semua manusia dicipta sejak Adam 'alaihi as-salam serta semua anak cucu keturunannya sehinggalah ke Hari Kiamat adalah manusia yang dicipta dari tanah.  Tujuan dicipta supaya beribadah, menyembah dan mentauhidkan Allah sehinggalah menemui ajalnya.  Firman Allah:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.

 

      "Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal/kematian)". Al-Hijr, 15:99.

 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنَ.

 

      "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Az-Zariat, 51:56.

            Tidak terdapat walaupun seorang dari kalangan para nabi atau para rasul menjadi penyebab sehingga kerananya dicipta dunia ini dan segala makhluk yang ada.  Namun, menurut seorang tokoh sufi bernama Ibn Arabi, alam nyata adalah kumpulan sifat-sifat Allah al-Haqq.  Tajjali Zat Allah hinggalah jadi hakikat segala yang ada di bumi ini.  Menurut Ibn Arabi lagi bahawa alam semesta seluruhnya adalah berasal dari Nur Muhammad.

            Mereka yang sefahaman dengan teori Ibn Arabi seolah-olah menafikan bahawa tujuan utama para nabi atau rasul diutus kepada umat mereka semata-mata untuk menyampaikan wahyu Allah.  Mereka melupakan tentang tugas para nabi dan rasul yang diutus untuk mengajak manusia beribadah kepada Allah dan menyeru kepada Tauhid yang murni agar mereka mendapat petunjuk.  Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ اُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ.

 

     "Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat untuk menyerukan:  Sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut".
An-Nahl, 16:36.

 

وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُوْلٍ اِلاَّ  نُوْحِى  اِلَيْهِ اَنَّهُ لاَ اِلَـهَ اِلاَّ اَنَا فَاعْبُدُوْنِ.

      "Tidak Kami utus seorang pun Rasul sebelum engkau (Ya Muhammad!), melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Aku, maka oleh sebab itu sembahlah Aku". Al-Ambiya, 21:25. 


Kepercayaan Nur Muhammad Di Majlis Maulid[21]

            Dalam majlis-majlis perayaan maulid Nabi banyak terjadi kemungkaran bid'ah yang menyalahi ajaran al-Quran dan hadith.  Majlis memperingati maulid[22] ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda.  Tidak pernah diadakan oleh mereka yang hidup di kurun terbaik (kurun mufaddalah) iaitu kurun para tabiin atau para mujtahidin yang empat (Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi) kerana tidak ada suruhan dari Nabi Muhammad atau syara.  Begitu juga tidak pernah diamalkan oleh para ulama besar pada abad kejayaan Islam.  Malah tidak terdapat dalil qatii dari syara yang membolehkannya.

            Banyak kemungkaran yang mereka lakukan semasa  mengadakan perayaan maulid Nabi terutama yang melibatkan bid'ah, khurafat, tahayyul dan kesyirikan.  Lebih-lebih lagi ketika mereka mengalunkan bait:

Wahai Rasulullah pemberi pertolongan

dan pemberi bantuan!.

Wahai Rasulullah kepadamu tempat berpegang!.

Wahai Rasulullah!  Hilangkanlah penderitaan kami.

Tidaklah kami merasai penderitaan,

kecuali akan engkau selesaikan.

            Meminta pertolongan dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam perkara biasa bagi pembuat bid'ah sebagaimana yang terbukti di dalam kitab Berzanji: 

وَنَتَوَسَّلُ اِلَيْكَ بِشَرَفِ الذَّاتِ الْمُحَمَّدِيَّةِ.

 

      "Dan kami bermohon dengan berperantaraan (bertawassul) kepadaMu melalui keberkatan hakikat al-Muhammadiyah".[23]

            Di dalam kitab Berzanji ada sepotong doa yang dipohon yang mana doa tersebut mengandungi unsur syirik:

      "Kami bermohon kepadaMu dengan berkat kemuliaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan kelebihannya".[24]

            Seandainya Rasulullah sallallhu 'alaihi wa-sallam boleh mendengar seruan dan kata-kata di atas ini, tentu akan menghukum penyerunya sebagai pelaku syirik besar, kerana pertolongan dan tempat meminta yang dapat menghilangkan segala penderitaan dan masalah manusia hanya Allah semata.  Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menjelaskan perkara ini di dalam firmanNya:

اَمَّنْ يُّجِيْبُ الْمُضْطَرَّ اِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوْءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَآءَ اْلاَرْضِ اَاِلَهٌ مَّعَ اللهِ قَلِيْلاً مَّا تَذَكَّرُوْنَ.

      "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi?  Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain?)  Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)".". An-Naml, 27:62.

            Ayat di atas menunjukkan hanya Allah Subhanahu wa-Ta'ala sahaja yang memperkenankan doa menolong manusia yang sedang dalam kesulitan.  Begitu juga, Allah di dalam al-Quran telah memerintahkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam agar mengkhabarkan kepada umat baginda dengan membacakan firmanNya

قُلْ اِنِّيْ لاَ اَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَّلاَ رَشَدًا.

      "Katakanlah (Ya Muhammad)!  Sesungguhnya aku tidak mempunyai kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan kepadamu dan tidak pula mempunyai kemanfaatan". Al-Jin, 72:21. 

            Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula bersabda:

اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

 

      "Apabila kamu meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah.  Dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah semata".[25]

            Dalil-dalil di atas membatalkan keyakinan dan ajaran penganut tarikat Nur Muhammad.  Namun, amat dikesalkan kerana pada kebiasaannya, bacaan bait-bait sya'ir semasa mengadakan perayaan maulid Nabi adalah terlalu berlebih-lebihan dan menambah-nambah (ghulu) dalam memuja-muji Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Sedangkan baginda telah melarang dari berbuat sedemikian kerana boleh membawa kepada kesyirikan.  Baginda bersabda:

لاَ تَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنِ مَرْيَمَ فَاِنَّمَا اَنَا عَبْدٌ قُوْلُوْا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

 

      "Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memuja-mujiku sebagaimana perbuatan orang-orang Nasrani memuji Isa bin Maryam.   Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah.  Katakanlah!  HambaNya dan utusanNya".[26]

            Sering juga perbuatan yang dilakukan di perayaan maulid dilakukan juga di majlis-majlis perkahwinan atau di majlis-majlis keagamaan yang lainnya.  Di dalam majlis tersebut dilaungkan bait-bait yang berisi penjelasan bahawa Allah menciptakan Muhammad dari nurNya.  Dan dari Nur Muhammad itu pula diciptakan segala sesuatu yang ada, yang ghaib (termasuk yang batin) atau yang nyata.

            Al-Quran menganggap sebagai suatu pembohongan ajaran, keyakinan dan amalan Nur Muhammad yang sesat lagi menyesatkan ini.  Ia jelas bertentangan dengan akidah dan amalan para aimah(الائمة)  dan orang-orang soleh yang bermanhaj Salaf as-Soleh.  Ia adalah perbuatan haram yang boleh menyebabkan kesyirikan.  Allah Azza wa-Jalla telah mengharamkan perbuatan ini sebagaimana firmanNya:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اِنَّمَآ اِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَّاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُوْا لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحًا وَّلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ اَحَدًا.

 

"Katakanlah (Ya Muhammad)!  Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa.  Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". Al-Kahfi, 18:110.

            Sebagaimana yang telah diyakini oleh orang-orang yang beriman dan berilmu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam diciptakan melalui perantaraan seorang ayah dan seorang ibu.  Baginda adalah manusia biasa yang diturunkan wahyu oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada baginda.   Keyakinan ini bertentangan dengan kepercayaan penganut Nur Muhammad, kerana kebiasaannya dalam majlis-majlis perayaan maulid yang mereka adakan, digambarkan melalui kitab-kitab maulid mereka tentang keluar- biasaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, kononnya Allah mencipta alam dan manusia lantaran Nabi Muhammad.  Kepercayaan ini juga diingkari oleh al-Quran, kerana dicipta manusia bukan kerana Nabi Muhammad, tetapi supaya mereka beribadah kepada Allah sebagaimana firmanNya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُونِ.

      "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu". Adz-Zariyat, 51:56.

Amat jelas dari penerangan di atas bahawa sekalian manusia dan segala makhluk dicipta bukan kerana Nur Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam atau bersebab rohnya, sesiapa yang mempercayai segala kekarutan ini adalah kufur dan sesat.  Kerana tujuan utama dicipta sekalian makhluk sama ada di langit, di bumi dan di akhirat adalah semata-mata untuk mengEsakan Allah Azza wa-Jalla dalam setiap ibadah mereka.


Persamaan Maulid Nabi Muhammad Dengan Maulid Nabi Isa

            Penganut agama Nasrani menyambut perayaan Hari Natal (Hari Krismas) pada 25 Disember setiap tahun kerana memperingati lahirnya Nabi Isa Al-Masih 'alaihi as-salam.  Penyerupaan berlaku kepada pencinta bid'ah yang mana mereka menyambut perayaan Maulidur Rasul pada 12 Rabi'ulawal setiap tahun.  Malah ditambah lagi dengan menyambut hari kelahiran (hari jadi) keluarga mereka dengan majlis yang meriah dan secara besar-besaran bagi mereka yang mampu.  Amalan ini adalah mencontohi perbuatan penganut agama Yahudi, Nasrani atau Majusi yang sentiasa menyambut hari kelahiran nabi atau ketua agama mereka dengan mengadakan perayaan.

            Pelaku dan pencinta bid'ah sememangnya sering tidak memperdulikan larangan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam agar tidak meniru atau mencontohi amalan agama Ahli Kitab atau Majusi, sedangkan Rasulullah sallallahu 'alaih wa-sallam dengan tegas telah melarang setiap orang yang beriman dari mencontohi amalan kaum kuffar sama ada dari golongan Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana sabdanya:

مَنْ تَشَبَّهَ بَقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

 

      "Barang sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari kaum tersebut".[27]

            Di majlis perayaan maulid atau hari jadi sering berlaku percampuran atau pergaulan bebas (tidak terkawal) antara wanita dengan lelaki yang bukan mahram.  Mereka perlu sentiasa ingat bahawa pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya. Maka bagaimana mereka boleh mendakwa mencintai Rasulullah sedangkan di majlis yang kononnya tanda cintanya kepada Nabi tetapi mereka melanggar larangan baginda?.

            Ada kalanya perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menjayakan majlis memperingati perayaan maulid mencapai jutaan ringgit banyaknya.  Sama ada untuk makan minum, hiasan, dekorasi, transportasi, perhubungan, penceramah, nasyid dan sebagainya.  Sedangkan perbuatan tersebut tidak pernah mendatangkan faedah, kecuali oleh orang-orang yang suka mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan mengenakan keperluan (untuk majlis tersebut) dengan harga yang tinggi.  Sedangkan Rasulullah telah mengharamkan pembaziran harta.

            Persiapan untuk mengadakan majlis perayaan maulid sering mengambil masa yang panjang, sama ada untuk menyiapkan pentas, menghias diri dan sebagainya, sehingga ada yang mengabai atau meninggalkan waktu sembahyang.  Hal seperti ini menjadi perkara biasa bagi si pembuat bid'ah.

            Amalan bangun dan berdiri tegak ketika sampai di bacaan-bacaan tertentu semasa membaca maulid (Berzanji) adalah suatu iktikad (kepercayaan) bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam berserta para sahabat baginda ketika itu sedang menghadirkan diri di majlis tersebut.  Hal ini adalah suatu bid'ah, khurafat, tahayyul dan kebohongan yang nyata.  Kerana Allah telah berfirman tentang keadaan orang yang telah wafat (meninggal dunia):

وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بِرْزَخٌ اِلَى يَوْمٍ يُّبْعَثُوْنَ.

      "Dan di hadapan mereka ada dinding (tembok penghalang untuk roh keluar) sampailah ke hari mereka dibangkitkan". Al-Mukmin, 23:100.

            Yang dimaksudkan (بَرْزَخٌ) "Barzakh" ialah tembok atau dinding.  Iaitu suatu yang memisahkan antara dunia dan akhirat yang tidak dapat ditembusi keluar oleh roh.

            Ada pun berdiri kerana memberi penghormatan kepada seseorang yang datang ke majlis bukanlah ajaran dari sunnah Rasulullah, kerana Anas bin Malik pernah berkata:

مَاكَانَ شَخْصٌ اَحَبَّ اِلَيْهِمْ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانُوْا اِذَا رَاَوْهُ لَمْ  يَقُوْمُوْا لَهُ لِمَا يَعْلَمُوْنَ مِنْ كَرَاهِيَّتِهِ لِذَلِكَ. 

      "Tidak ada seseorang yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah.  Apabila para sahabat melihat Rasulullah hadir, tidak seorang pun yang berdiri memberi penghormatan.  Sebab mereka mengetahui bahawa Rasulullah sangat membenci penghormatan dengan cara berdiri".[28]

            Terdapat sebahagian dari pencinta amalan maulid ini beralasan:

"Kami mengadakan perayaan memperingati maulid ini untuk membacakan sirah (sejarah) hidup Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam".

Tetapi kenyataan sirah yang mereka bacakan bertentangan dengan sabda-sabda dan sejarah Rasulullah yang sebenar.  Kalaulah begitu apa faedahnya?  Apakah orang yang dikatakan mencintai Rasulullah memadai hanya dengan membacakan sirah hidup baginda?  Kalau begitu, ini bermakna orang yang mencintai Rasulullah perlu membacanya setiap hari sedangkan mereka hanya melakukannya setahun sekali?

            Pembuat bid'ah perlu menyedari bahawa di bulan Rabi'ul Awal adalah bulan kelahiran dan kewafatan Rasulullah, tidak sepatutnya diadakan perayaan (bersuka ria) di bulan kewafatannya sedangkan menunjukkan keprihatinan adalah lebih utama.

            Kebiasaannya perayaan maulid diadakan sehingga kelarut malam, dipenuhi dengan nyanyian (nasyid), akibatnya ramai antara mereka yang tertinggal sembahyang Subuh kerana tertidur sehingga matahari terbit.

            Sebenarnya tidak ada sesuatupun yang berupa tuntutan agama dari apa yang sering dilakukan oleh pencinta maulid.  Terutama semasa mengadakan majlis maulidur rasul, kerana pada kebiasaannya amalan mereka hanya mentaati kehendak orang ramai, sedangkan jika mereka benar-benar ingin mentaati Allah dan mencintai RasulNya caranya telah dijelaskan oleh syara.  Pada dasarnya pencinta perayaan maulid telah mentaati selain Allah yang membawa mereka kepada kesesatan.  Awas amaran Allah tentang mentaati orang kebanyakan:

وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ.

 

      "Dan jika kamu menuruti (mentaati) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah".

Al-An'am, 6:116.

            Huzaifah radiallahu 'anhu berkata:

      "Setiap bid'ah adalah menyesatkan walaupun seluruh umat manusia melihatnya dan menganggapnya sebagai sesuatu yang baik".

Hasan Basri rahimahullah pula menjelaskan:

 

      "Sesungguhnya Ahli Sunnah sejak mulanya memang berjumlah sedikit.  Begitu jugalah pada akhir zaman jumlah mereka semakin sedikit.  Mereka adalah orang-orang yang tidak digemari oleh orang-orang yang cintakan kehidupan dunia dan bermegah-megah dengan kemewahannya.  Ahli Sunnah pula tidak terpikat dengan Ahli Bid'ah.  Mereka (Ahli Sunnah) bersabar berpegang teguh kepada sunnah Rasul sehingga bertemu dengan Tuhan mereka.  Demikianlah!  Maka masuklah kamu ke dalam golongan mereka (Ahli Sunnah) yang sedikit)".

            Pecinta perayaan maulid bukanlah dari golongan ahli sunnah yang sedikit sebagaimana yang dimaksudkan oleh Hasan Basri, kerana orang yang mula-mula mengadakan perayaan maulid Nabi ialah Raja Muzaffar di Syam pada abad ke tujuh Hijrah.  Orang yang pertama kali mengadakan perayaan maulid di Mesir ialah Bani Fatimiyah.  Mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Kathir adalah golongan orang kufur dan fasik.  Begitu juga perayaan maulid bacaan Berzanji paling digemari dan diutamakan oleh mereka yang menganut tarikat Nur Muhammad.  Adapun fatwa para ulama muktabar tentang pengharaman majlis maulid:

            Berkata Syeikh Muhammad bin Abul Latif semasa ditanya tentang mengeluarkan harta di atas nama maulid Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

      "Sesungguhnya amalan maulid adalah tergolong dari perbuatan bid'ah yang mungkar dan termasuk kerja-kerja yang keji.  Membelanjakan harta kerana majlis maulid Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah bid'ah yang diharamkan, pelakunya adalah berdosa bukan berpahala, maka wajib mengingkari terhadap sesiapa yang melakukan yang demikian".[29]

            Boleh difahami dari penjelasan dan fatwa ulama muktabar sebagaimana tertera di atas, bahawa membaca  Berzanji dan  mengadakan majlis atau perayaan maulid Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa-sallam adalah bid’ah yang mungkar.


Sembahyang Di Belakang Pengikut Nur Muhammad

            Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin rahimahullah ketika ditanya:  Bolehkah seseorang itu bersembahyang di belakang orang yang berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah cahaya dari cahaya Allah, baginda bukanlah manusia, baginda mengetahui yang ghaib dan seseorang itu boleh meminta pertolongan dari baginda kerana meyakini bahawa baginda memiliki manfaat dan mudarat?

            Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin rahimahullah menjawab:  Sesiapa yang berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah cahaya dari cahaya Allah dan baginda bukan manusia sehingga mengetahui yang ghaib, maka dia adalah kafir kepada Allah dan RasulNya.  Dia menjadi musuh Allah dan RasulNya kerana dakwaannya adalah dusta.  Maka sesiapa yang berdusta terhadap Allah dan RasulNya dia adalah kafir.  Adapun dalilnya ialah firman Allah:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ.

      "Katakanlah!  Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia sepertimu".  Al-Kahfi, 18:110. 

قُلْ لآ اَقُوْلُ لَكُمْ عِنْدِى خَزَآئِنُ اللهِ وَلآ اَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلآ اَقُوْلُ لَكُمْ اِنِّيْ مَلَكٌ اِنْ اَتَّبِعُ مَا يُوْحَى اِلَيَّ.

     "Katakanlah!  Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku memiliki perbendaharaan Allah, aku tidak mengetahui yang ghaib dan aku tak mengatakan bahawa aku adalah malaikat, aku hanya mengatakan apa yang telah diwahyukan kepadaku". Al-'An'am, 6:50.

 

قُلْ لآ اَمْلِكُ لِنَفْسِيْ نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا اِلاَّ مَا شَـآءَ اللهُ وَلَوْ كَنْتُ اَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَ سْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوْءُ اِنْ اَنَا اِلاَّ نَذِيْرٌ وَبَشِيْرٌ لِقَوْمِ يَؤْمِنُوْنَ.

 

"Katakanlah!  Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan, kecuali yang dikehendaki Allah.  Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak- banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan.  Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". Al-'Araf, 7:188.

            Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula bersabda:

اِنَّمَا اَنَا مِثْلُكُمْ اَنْسَىكَمَا تَنْسَوْنَ وَاِذَا نَسِيْتُ فَذَكَّرُوْنِيْ.

      "Sesungguhnya aku hanyalah manusia seperti kamu, aku lupa sebagaimana kamu lupa, maka apabila aku lupa ingatkanlah aku".[30]

            Sesiapa yang meminta pertolongan kepada Rasulullah dengan keyakinan bahawa baginda memiliki manfaat dan mudarat, maka dia telah kufur dan pendusta terhadap Allah dan telah melakukan kesyirikan terhadap Allah.  Allah berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُوْنِيْ اَسْتَجِبْ لَكُمْ اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ.

 

     "Dan Rabb (Tuhan) kamu berfirman:  Berdoalah (mintalah) kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.  Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina". Ghafir, 40:60.

 

قُلْ اِنِّيْ لآ اَمْلِكُ لَكُمْ ضَرَّا وَلاَ رَشَدًا قُلْ اِنَّيْ لَنْ يُجِيْرَنِيْ مِنَ اللهِ اَحَدٌ وَلَنْ اَجِدَ مِنْ دُوْنِهِ مُلْتَحَدًا.

 

      "Katakanlah!  Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan kepadamu dan tidak (pula) sesuatu kemanfaatan.  Katakanlah!  Sesungguhnya aku tiada seseorang pun yang dapat  melindungiku selain Allah, sekali-kali tidak akan memperolehi tempat berlindung selain dariNya"

Al-Jin, 72:21-22.

 

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

 

لاَ اَغْنى عَنْكُمْ مِنَ اللهِ شَيْئًا.

 

      "Aku tidak mempunyai kemampuan apapun untuk menolongmu di hadapan Allah".[31]

            Oleh itu tidak diperbolehkan sembahyang di belakang orang yang berkeyakinan sebagaimana yang dijelaskan di atas.  Ataupun yang sejenisnya juga tidak dihalalkan menjadi imam bagi kaum muslimin.[32]


Wajib Mencintai Dan Mentaati Para Rasul Dan Nabi

            Setelah mengetahui tentang wajibnya beriman kepada sekalian para nabi dan rasul, maka kewajiban seterusnya ialah mencintai mereka lebih dari mencintai ibu-bapa, anak-anak, keluarga dan keseluruhan manusia melalui cara yang telah ditentukan oleh al-Quran, iaitu dengan benar-benar mentaatinya, menghayati, mencontohi dan melaksanakan segala cara-cara beribadah yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan meninggalkan segala yang ditegah.  Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

فَوَالَّذِى نَفْسِيْ بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ اَحَدُ كُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ.

 

"Maka demi jiwaku yang di dalam genggamanNya, tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga aku dijadikan lebih dicintai dari orang tuanya dan anaknya”.   H/R  Bukhari.

 

لاَيُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّىاَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَ.

     

      "Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehinggalah aku dijadikan lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya".[33]

ثَلاَثٌ مَنْكُنَّ فِيْهِ وَجَدَحَلاَوَةَ اْلاِيْمَانِ اَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا.

      "Tiga perkara yang menjadikan kamu memperolehi kemanisan (kesempurnaan) iman iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya".[34]

 Setiap orang Islam yang beriman wajib mentaati dan mencontohi rasul utusan tersebut, sebagaimana firman Allah 'Azza wa-Jalla:

يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاُوْلِى اْلاَمْرِ مِنْكُمْ.

 

      "Wahai orang-orang yang beriman!  Taatilah Allah,  taatilah Rasul(Nya) dan ulilamri antara kamu". An-Nisa, 4-59. 

وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ رَسُوْلٍ اِلاَّ لِيُطَاعَ بِاِذْنِ اللهِ.

      "Dan Kami tidak mengutus rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah".  An-Nisa, 4:64.

 

وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَالرَّسُوْلَ فَاُولَئِكَ مَعَ الَّذِيْنَ اَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّيْنَ والصِّدِّيْقِيْنَ والشُّهَدَآءِ وَالَّصَالِحِيْنَ وَحَسُنَ اُولَئِكَ رَفِيْقًا.

 

      "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh.  Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya".  An-Nisa, 4:69.

مَنْ يُّطِعِ الرَّسُوْلَ فَقَدْ اَطَاعَ اللهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَآ اَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيْظًا.

        "Barangsiapa yang mentaati Rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.  Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan), maka Kami tidak mengutusmu untuk jadi pemelihara bagi mereka".  An-Nisa', 4:80.

 

وَاَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاحْذَرُوْا فَاِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوْا انَّمَا عَلَى رَسُوْلِنَا الْبَلاَغُ الْمُبِيْنَ.

"Dan taatilah kamu kepada Allah dan taatilah kepada Rasul(Nya), dan berhati-hatilah.  Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawasanya kewajipan Rasul Kami hanya menyampaikan (amanat Allah) dengan terang". Al-Maidah, 5:92.

 

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَلاَتُبْطِلُوْا اَعْمَالَكُمْ.

"Hai orang-orang yang beriman!  Taatilah kepada Allah dan taatilah kepada rasul dan janganlah kamu merosakkan (membatalkan pahala) amalan kamu".   Muhammad, 47:33

            Mentaati Allah Tabaraka wa-Ta’ala dan rasulNya dengan penuh keimanan hanya boleh dibuktikan dengan mengembalikan segala persoalan yang bersangkut-paut dengan akidah, ibadah atau hukum ahkam agama hanya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (al-Hadith yang sahih) tanpa ada persoalan dan dilakukan penambahan (bid'ah).  Prinsip keimanan yang sempurna ialah berpegang teguh dan menggigit kedua kitab ini tanpa berbelah-bagi atau ragu.  Sesiapa yang meninggalkan pegangan al-Quran dan al-Hadith, dia telah membawa dirinya kepada kesesatan dan kekafiran yang nyata:

فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللهِ والرَّسُوْلِ اِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ والْيَوْمِ اْلآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَاَحْسَنُ تَاْوِيْلاً.

"Jika kamu saling berbantah-bantahan dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya".  An-Nisa, 4:59.

            Para nabi dan rasul adalah manusia pilihan Allah Tabaraka wa-Ta'ala yang terbaik, paling sempurna dan termulia di antara sekalian manusia, namun wajib diimani juga bahawa Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam adalah yang paling mulia dan penutup para nabi dan rasul.

            Tidak dihalalkan seseorang itu mendakwa bahawa ibu-bapanya, dirinya, gurunya, para wali atau syeikh-syeikh tarikat mereka lebih baik dari salah seorang para nabi atau rasul yang telah diutus.  Kenyataan ini yang diperkuat dengan nas-nas syara adalah menyangkal dakwaan sesetengah dari para syeikh tarikat atau penganut tasawuf (sufi) yang kesasaran bahawa ada di antara syeikh mereka yang lebih baik dan mulia dari para nabi dan rasul utusan Allah Azza wa-Jalla.  Dakwaan mereka dapat ditolak melalui sabda Nabi Muhammad salallahu 'alai wa-sallam:

مَا كَانَ لِعَبْدٍ اَنْ يَقُوْلَ اِنِّى خَيْرٌ مِنْ يُوْنُسَ بْنِ مَتَّى.

"Tidak selayaknya bagi seorang hamba mengatakan:   Sesungguhnnya aku lebih baik dari Yunus bin Matta"[35]

            Sebenarnya, sebagai tanda seseorang itu mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam semestinya dibuktikan dengan mencintai Allah terlebih dahulu, dan sebagai bukti seseorang itu benar-benar mencintai Allah dan RasulNya, maka ia perlu memenuhi syarat yang telah dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan di dalam firmanNya:

قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ.

"Katakanlah!  Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.  Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".  Ali Imran, 3:31.


Nabi Terakhir Diutus Kepada Semua Kaum

            Setiap nabi dan rasul telah diutuskan hanya kepada kaumnya masing-masing sahaja.  Namun Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam sebagai nabi dan rasul terakhir telah diutus sebagai rahmat kepada sekalian manusia dan jin di segenap pelusuk dunia dari zamannya sehinggalah ke Hari Kiamat kelak.  Firman Allah:

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ اَبَا اَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِن رَّسُوْلَ اللهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّيْنَ.

 

      "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi". Al-Ahzab, 33:40.

وَاَنَا الْعَاقَبُ الَّذِيْ لَيْسَ بَعْدَهُ نَبِيٌّ

      "Aku adalah ikutan yang tidak ada Nabi sesudahku".[36]

            Syariat Islam yang telah dibawa oleh baginda Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam telah memansuhkan segala syariat sebelumnya.  Begitu juga sebagaimana yang dijelasakan oleh ayat di atas bahawa kitab al-Quran yang terpelihara telah diturunkan kepada Rasulullah salallahu 'alahi wa-sallam menjadi penutup kepada semua nabi-nabi, para rasul dan semua kitab-kitab sebelumnya.  Sabda Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:

اِنِّيْ عِنْدَ اللهِ مَكْتُوْبٌ خَاتِمُ النَّبِيِّيْنَ وَاِنَّ آدَمَ لَمُنْجَدِلُ فِى طِيْنَتِهِ.

 

      "Sesungguhnya aku di sisi Allah telah tercatit sebagai penutup para Nabi.  Dan sesungguhnya Adam adalah lebih dulu diturunkan ke bumi".[37]

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menurunkan al-Quran yang sentiasa dalam pemeliharaanNya ke bumi melalui malaikat Jibril ‘alaihi as-salam.  Keseluruhan isinya telah disampaikan oleh Nabi Muhammad kepada umat baginda yang mana isinya tidak boleh diubah, ditambah, diganti atau dicemari dengan kata-kata atau pendapat manusia walaupun satu kalimah.  Allah telah menyempurnakan Islam melalui kitab yang disampaikan oleh NabiNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai Nabi penutup.  Oleh itu, tiada siapa yang boleh mencabuli al-Quran dengan merubah erti, maksud atau maknanya walau satu huruf.

Yang dianggap agama hanyalah apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad yang dinamakan “Islam”.  Hanya agama Islam yang diterima dan diredhai Allah sehinggalah ke Hari Kiamat sebagaimana firmanNya:

اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.

 

"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku redhai Islam itu sebagai agama bagimu".   Al-Maidah, 5:3.

            Oleh sebab itu, tidak boleh mengingkari kerasulan Nabi Muhammad salahu 'alaihi wa-sallam dan kesempurnaan agama yang diturunkan kepada baginda, sesiapa yang mengingkarinya ia telah membatalkan keimanannya.  Begitu juga sesiapa yang mengingkari dan membohongi hadith-hadithnya yang sahih serta menafikan (meniadakan) setiap khabar yang datang darinya ia dianggap kufur.  Syariat Islam dengan jelas dan tegas telah mengharamkan (mengkufurkan) seseorang yang mengaku sebagai nabi, rasul atau memberi sifat kenabian atau kerasulan kepada seseorang sesudah Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam wafat.

Akhir kata, semoga kita sekalian sentiasa mendapat kebaikan dan hidayah Allah, dihindarkan dari segala kecelakaan dan kesyirikan.  Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat serta mereka yang berittiba’ dengan baik.  Dan disudahi dengan wal-Hamdulillahi Rabbil ‘Alamin.


[1].  H/R Turmizi dalam sahihnya.

[2].  Lihat: Berzanji.  Hlm. 7. Jaafar Berzanji.  Terjemahan Amir Hj. Marzuki.  Jabatan Agama Selangor, Jabatan Dakwah.

[3].  Lihat:  Terjemahan Maulid Berzanji &Daiba'i,  Susunan Zulkifli Mat Isa.  Hlm. 1.  Jahabersa.

[4].  Lihat:  فصوص الحكم  Hlm. 39. Ibn Arabi.  Ta'lik Dr. Abu al-Afifi.  Dar Kitab Arabi.

[5].  Lihat:  مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي نثر وبرزنجي نظم hlm. 19.Percetakan al-Maarif Sdn. Bhd.

[6].  Lihat:  شعار السالكين.  Jld. 4. Hlm. 102.  Syeikh Abd. Samad al-Palembani.  BPPI. Selangor & Wilayah Persekutuan.

[7].  Lihat:  Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i, Hlm. 52.  Susunan Zulkifli Mat Isa.  Jahabersa.

[8].  Lihat:  اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[9].  Lihat:  Terjemahan Maulid berzanji & Daiba'i.  Hlm. 3.  SusunanZulkifli Mat Isa.  Jahabersa.

[10].  H/R Turmizi.  Menurut al-Albani hadith ini adalah sahih.  Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[11].  Lihat: .مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجى نثر وبرزنجى نظم Hlm. 36. Percetakan al-Maarif Sdn Bhd. 

[12].  Lihat:  مولد النبى صلى الله عليه وسلم للبرزنجي * للديبعي Hlm.  94.  Cetakan pertama 1995.  Jahabersa. 

[13].  H/R Ahmad dan Bukhari.

[14].  H/R Al-Bazzar.  Menurut al-Albani hadith Sahih.  Lihat:  Al-Jami'  4444.

[15].  Al-Albani menganggap hadith ini sahih.  Lihat: Al-Jami'.  No:2337.

[16].  H/R Bukhari dan Muslim.

[17].  Lihat:  اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[18].  H/R Bukhari dan Muslim.

[19].  Lihat:  Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i.  Hlm. 60.  Zulkifli Mat  Isa. 

[20].  Lihat:  اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[21].  Sebahagian teks dalam tajuk ini disalin (dinukil) dari buku الفرقة الناجية  oleh Muhammad bin Jamil Zinu.

[22].  Sebahagian masyarakat Melayu menyebut "maulud".

[23].  Lihat:  Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i.   Hlm. 52.  Susunan  Zulkifli Mat Isa.  Jahabersa.

[24].  Ibid.  Hlm. 75.

[25].  H/R Turmizi (hadith sahih).

[26].  H/R Bukhari.

[27].  H/R Abu Daud.  (Hadith sahih).

[28].  H/R Ahmad dan Turmizi.  (hadith sahih).

[29].  القول الفصل فى حكم الاحتفال بمولد خير الرسل (ص) Hlm. 55.  Ismail bin  Muhammad al-Ansari.  Wazarah as-Syuun al-Islamiyah wal-Aukaf wa-  Addakwah wal-Irsyad.  Saudi Arabia.

[30].  H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaii dan Ibn Majah.

[31].  H/R Bukhari, Muslim dan an-Nasaii.

[32].  Keseluruhan tajuk dan teks ini dinukil (disalin) dari:  مجموع فتاوى ورسائل  Juz.  1.  Hlm. 333-334.    شيخ محمد بن صالح العثيمن.

[33].  H/R Bukhari.

[34].  H/R Bukhari (15), al-Ilm.  Muslim (60) al-Iman.  Turmizi (2548) al-  Iman an-Nasaii (4903) al-Iman wa-Syari'uhu.  Ibn Majah (4023) al- Fitan.  Ahmad (11679) Musnad al-Mukathirin.

[35].  H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad.

[36].  H/R Bukhari dan Muslim.

[37].  Hadith sahih riwayat Hakim.

Hak cipta terpelihara @ Ibnunaem 2002