Biodata Ustaz Rasul DahriAnda bertanya Ustaz menjawabKitab-kitab referensiLink IslamiHubungi webmasterLelaman utama
Muqaddimah - Koleksi Kuliah-Kuliah Aqidah Jilid 1
Buku “Koleksi Kulliah-Kulliah Aqidah” jilid pertama ini akan bersambung dan seterusnya akan menyusul dan diiringi oleh beberapa buku lagi yang mungkin akan mencapai sehingga beberapa jilid insya-Allah.

Sebenarnya keseluruhan isi kandungan buku jilid pertama ini dan yang akan terus bersambung merupakan beberapa buah kertas kerja dari beberapa majlis ceramah, forum, wacana, majlis-majlis ilmu dan kulliah yang telah dibentang (disampaikan) oleh penulis sama ada di Malaysia atau Singapura. Antara majlis tersebut ada yang diundang oleh pehak kerajaan negeri, institusi kerajaan, pusat-pusat pengajian, universiti, persatuan, pertubuhan, masjid, badan-badan agama, individu atau lain-lainnya.

Setelah semua kertas-kertas kerja yang telah dibentang, diceramahkan atau dikulliahkan dikumpul semula, kemudian disatukan, disusun dan dibuat beberapa penambahan, barulah penulis menjadikannya buku-buku koleksi yang bersiri (berjilid-jilid). Koleksi ini akan terus diterbitkan supaya menjadi bahan bacaan berbentuk agama terutamanya yang menyentuh persoalan akidah Islamiyah.

Mudah-mudahan semua buku-buku “Koleksi Kulliah-kulliah Akidah” yang ditulis dengan gaya bahasa yang ringan, penuh penelitian, pengkajian dan kesabaran mampu dimiliki oleh para pembaca serta menjadi koleksi yang bermanfaat. Ianya mudah dibaca dan amat sesuai dijadikan bahan rujukan oleh para pengkaji agama, para pelajar, para pembaca, para pencinta ilmu agama dan para hadirin yang menghadiri majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh penulis sama ada di Malaysia atau di Singapura.

Segala usaha untuk menerbitkan koleksi kertas kerja ini sehingga menjadi beberapa buah buku adalah atas dorongan, permintaan dan inisiatif yang disuarakan oleh para muslimin dan muslimah, terutama mereka yang kurang berpeluang mengikuti majlis-majlis ilmu. Walaupun mereka tidak berkesempatan bersama penulis namun mereka menghubungi penulis dan menyuarakan keinginan untuk memiliki kesemua kertas kerja dan buku-buku yang telah diterbitkan.

Semoga segala usaha untuk menjayakan semua penulisan dan penerbitan yang bertujuan mencari keredhaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala ini sentiasa mendapat keberkatan dariNya. Mudah-mudahan juga buku ini mampu menyumbang ke arah menambah bahan-bahan pembacaan dan berjaya menyalurkan pengetahuan agama kepada ummah menurut pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah yang disepakati oleh jumhur ulama Salaf as-Soleh.

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam
“Menuntut ilmu itu adalah wajib atas setiap muslim” H/R Baihaqi dan Ibn Abdulbar.

Maka tulisan ini adalah antara pilihan yang tepat untuk dimiliki, dibaca, difahami dan untuk menambah bahan-bahan pelajaran agama supaya dapat mengamalkan ibadah zahir dan batin dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syara. Wallahu‘alam.

Rasul Dahri
Singapura.

Hak cipta terpelihara @ Ibnunaem 2002